SHAH ALAM, 21 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda lima daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Kuala Langat sehingga 12 tengah hari ini.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan beberapa daerah di Perak dan Sabah dijangka mengalami keadaan cuaca sama.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



