PBT

MPAJ: Peniaga diingat perbaharu lesen sebelum 31 Disember, elak denda

17 Dis 2024, 6:25 AM
MPAJ: Peniaga diingat perbaharu lesen sebelum 31 Disember, elak denda

SHAH ALAM, 17 DIS : Sebanyak 1,432 premis perniagaan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperbaharu lesen perniagaan 2025.

MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu 1,301 premis peniagaan memperbaharui lesen melalui Sistem iCOMM dengan kutipan hasil sebanyak RM1.21 juta.

Manakala, sebanyak 131 premis perniagaan dan 1,131 penjaja pula memperbaharui lesen di kaunter MPAJ dengan kutipan hasil sebanyak RM451,383.96.

“Pemegang lesen perniagaan MPAJ diingatkan supaya memperbaharui lesen bagi mengelakkan caj denda lewat sebanyak RM360 dikenakan sekiranya mereka gagal laksana sebelum 31 Disember ini.

“Untuk makluman, Kaunter Pembaharuan Lesen Perniagaan MPAJ 2025 telah dibuka sejak 1 Oktober lalu di Galeri Aras 4, Menara MPAJ dan beroperasi setiap hari (kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum), bermula 8 pagi sehingga 5 petang,” katanya.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah pembaharuan lesen perniagaan dan penjaja, lesen dinamik serta permohonan lesen baharu dan permit.

Kaunter luar tanpa tunai turut dibuka di Melawati Mall sehingga akhir Disember dan beroperasi setiap hari (kecuali Sabtu dan Ahad minggu kedua dan keempat dan cuti umum), dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Pembaharuan lesen perniagaan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem ICOMM MPAJ dengan melayari icomm@mpaj.gov.my kecuali bagi lesen dinamik dan berisiko seperti pusat kecantikan dan pusat penjagaan kesihatan,

Manakala, pembaharuan lesen Usahawan Mikro (penjaja) pula boleh dilaksanakan secara dalam talian dengan melayari Sistem e-penjaja MPAJ di pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja/login.php.