SHAH ALAM, 21 NOV: Seramai 555 remaja hamil luar nikah direkodkan setakat September berbanding 799 kes sepanjang tahun lalu, dedah EXCO pembangunan wanita dan keluarga.
Anfaal Saari menjelaskan berdasar laporan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, 13 kes melibatkan remaja berusia 10 hingga 14 tahun, 15 hingga 17 tahun (157) dan 18 dan 19 tahun (385).
“Kerajaan Negeri memandang serius isu ini terutama melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun. Berikutan itu tahun ini pentadbiran melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak- kanak.
“Ia dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai gangguan seksual,” katanya.
Berucap ketika menggulung usul Rang Udang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini, Anfaal berkata pentadbiran akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi menangani isu berkenaan pada suku pertama tahun depan.
“Program melalui Wanita Berdaya Selangor, JKM dan Persatuan Kebajikan Bayt Al-Rahmah. Selain itu 12 program advokasi sudah dilaksana termasuk di 11 sekolah manakala satu dianjur di Projek Perumahan rakyat Hicom, dekat sini,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut mendidik ibu bapa berhubung kemahiran mendidik menerusi teknologi digital sebagai langkah melindung anak-anak daripada pengaruh tidak sihat di media sosial menerusi Program Kasih Keibubapaan Digital.


