SHAH ALAM, 20 NOV: Ekonomi Selangor yang mencatatkan hasil negeri RM2.4 bilion pada 2024 melepasi sasaran awal RM2.2 bilion membuktikan negeri berada di landasan betul.
Wakil rakyat Kuala Kubu Bharu (KKB) berkata prestasi ekonomi Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 25.9 peratus menunjukkan negeri berjaya mengharungi cabaran ekonomi global termasuk ketegangan geopolitik.
Justeru, Pang Sock Tao berkata dakwaan pembangkang dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025 pada Isnin lalu bahawa prestasi ekonomi Selangor tidak unggul adalah tidak berasas mengikut realiti semasa.
“Kerajaan Negeri juga telah menunjukkan ketahanan dan keupayaan yang luar biasa dalam mengatasi ketidaktentuan ekonomi global.
“Dasar kebajikan seperti Iltizam Selangor Penyayang (ISP) telah meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Media Selangor.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan pembangkang yang menyatakan Kerajaan Negeri tidak membela golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) pada sesi perbahasan itu.
“Pada Belanjawan 2025, sejumlah RM30 juta diperuntukkan untuk meneruskan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada 2025 bagi meringankan beban rakyat mendapatkan barangan asas pada harga murah.
“Insentif RM1,000 melalui Skim Khairat Darul Ehsan kepada waris dan anak negeri Selangor yang berusia 50 tahun dan ke atas menunjukkan komitmen negeri menjamin kesejahteraan rakyat,” ujarnya.