SHAH ALAM, 10 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor menggesa Belanjawan Selangor 2026 memberi tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pengasingan sisa pepejal serta memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pelupusan sampah haram.
Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memupuk budaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat sekali gus mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan sisa di negeri ini.
ADN turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri membangunkan loji penukaran sisa kepada tenaga (WTE), yang disifatkan sebagai langkah proaktif bukan sahaja dalam mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal tetapi juga meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Kerajaan negeri juga bakal menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik selama tiga hari seminggu – Jumaat hingga Ahad – mulai tahun depan bagi menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan mengamalkan gaya hidup mampan.
Pua Pei Ling: Tingkat kesedaran hijau, dari larangan plastik ke pengasingan sisa
ADN Bukit Lanjan, Pua Pei Ling, berkata kempen larangan penggunaan beg plastik yang telah dilaksanakan lebih sedekad kini berhasil apabila semakin ramai rakyat membawa beg guna semula ketika membeli-belah.
“Ini bukti bahawa kesedaran rakyat terhadap kelestarian alam semakin meningkat. Tiba masanya kita melangkah ke tahap seterusnya - pengasingan sisa pepejal sebagai amalan harian,” katanya.
Menurut beliau, pemahaman rakyat mengenai kepentingan pengasingan sisa perlu diperluas supaya ia menjadi budaya seisi rumah.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menunjukkan keprihatinan terhadap isu penuaan penduduk dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Penjagaan (Care Economy).
“Saya berharap dasar ini dapat diterjemahkan dalam belanjawan akan datang agar lebih ramai warga emas menikmati manfaatnya,” katanya.
Beliau turut menggesa pelan komprehensif menangani kesejahteraan mental remaja dirangka susulan pelbagai insiden yang berlaku di sekolah kebelakangan ini.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada program SEHAT atau tindakan selepas kejadian. Pencegahan awal dan bimbingan psikologi perlu disusun dengan teliti,” tegasnya.
Yew Jia Haur: Perkukuh penguatkuasaan, teruskan manfaat warga emas
ADN Teratai, Yew Jia Haur menggesa penguatkuasaan terhadap pelupusan sampah haram yang semakin berleluasa diberi tumpuan khusus melalui Belanjawan Selangor 2026.
Beliau berkata beberapa tapak pelupusan sisa di Selangor turut menampung sisa dari Kuala Lumpur dan Putrajaya, menyebabkan sebahagian pihak memilih jalan pintas dengan membuang sampah secara haram di tanah kerajaan atau tanah persendirian.
“Perbuatan ini mencemarkan alam sekitar dan mencalar imej komuniti setempat. Ia perlu dijadikan fokus utama dalam Belanjawan Selangor 2026,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan keperluan untuk meneruskan program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang dilaksanakan lebih 10 tahun.

“Sebelum ini, semua warga emas berumur 60 tahun ke atas boleh mendaftar untuk menerima baucar hari lahir.
“Namun kini pendaftaran baharu telah dihentikan dan hanya ahli sedia ada menerima manfaat. Saya berharap negeri mempertimbangkan semula supaya lebih ramai warga emas dapat menikmati faedah ini,” katanya.
Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan 14 November ini, dengan fokus terhadap ketahanan fiskal, pembangunan modal insan serta pengukuhan kedudukan strategik Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menjelaskan bahawa belanjawan kali ini merupakan “belanjawan peralihan”, yang bukan sahaja menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1) tetapi turut meletakkan asas bagi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dibentangkan tahun hadapan.







