SUBANG JAYA, 16 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersedia menjadi bapa angkat bagi sukan pickleball dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Datuk bandarnya berkata kesediaan itu bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri yang mahu mengangkat sukan itu dalam acara dwitahunan tersebut.
"Kita sudah merancang banyak aktiviti dan kejohanan pickleball ini dalam kalendar MBSJ tahun depan supaya lebih ramai bakat baharu dalam sukan ini dapat dilahirkan.
"Kita akan uar-uarkan di media sosial berhubung kejohanan pickleball yang akan dianjurkan pada masa akan datang," kata Dato' Amirul Azizan Abd Rahim.
Terdahulu beliau menghadiri Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar di Dewan Serbaguna MBSJ Seksyen 10 Putra Heights (Camelia) di sini, hari ini.
Mengulas intipati belanjawan negeri berhubung penambahanan gelanggang pickleball, Amirul Azizan berkata MBSJ bercadang membinanya lagi di SS15 dan USJ termasuk mengubah beberapa gelanggang badminton.
"Kita juga mengalu-alukan pihak swasta yang ada tanah kosong atau terbiar hadir ke MBSJ memohon dengan kami untuk sama-sama membangunkan gelanggang pickleball di kawasan tersebut," katanya.
[caption id="attachment_673479" align="alignnone" width="798"] Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (tiga, kiri) bersama ADUN Kota Kemuning S Preakas (dua, kanan) ketika hadir pada Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar Subang Jaya di Dewan Serbaguna MBSJ Putra Heights (Camelia) pada 16 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preaskas menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mencontohi MBSJ untuk mempromosi sukan pickleball.
"Saya memuji inisiatif MBSJ ini dan wajar dicontohi. Mungkin dengan cara ini ramai orang akan mula menceburi sukan ini sekali gus membantu negeri merealisasi 100 juta pemain baharu dalam tempoh lima tahun," katanya.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025 semalam, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyeru PBT menyedia gelanggang pickleball di taman awam dengan menaik taraf gelanggang badminton sedia ada.
Sebelum ini, Amirudin dilapor berkata acara sukan dan rekreasi dijadikan teras inisiatif dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, sukan pelancongan merupakan tarikan utama di Selangor, antaranya seperti larian, basikal dan yang terbaharu sukan pickleball.
MBSJ sebelum ini turut berperanan sebagai bapa angkat kepada tiga pasukan Selangor iaitu pasukan Kriket, Ping Pong dan Bola Jaring pada temasya SUKMA ke-21 yang berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos lalu.