SUBANG JAYA, 8 NOV: Pembentangan Belanjawan Negeri 2025 diharap dapat memberi tumpuan terhadap pembangunan institusi kekeluargaan, menurut EXCO pembangunan masyarakat.
Menyifatkan 2025 sebagai tahun pemerkasaan keluarga, Anfaal Saari berkata Dasar Ekonomi Penjagaan Keluarga yang bakal diluluskan turut menjadi sebahagian inisiatif dalam belanjawan berkenaan.
“Kita melihat 2025 sebagai tahun pemerkasaan keluarga. Dasar Ekonomi Penjagaan Keluarga yang akan diluluskan pada sidang dewan akan datang perlu diambil kira dalam belanjawan negeri, yang akan memberi pengukuhan kepada dua faktor tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Simposium Koperasi Wanita 2024 di Hotel Summit USJ, di sini, hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentang belanjawan negeri 2025 pada 15 November ini, jam 3 petang di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS).
Laporan belanjawan boleh diikuti melalui portal selangorkini.my, Selangor Journal, Selangorkini Mandarin dan Selangorkini Tamil
Orang ramai juga boleh menonton siaran langsung menerusi https://selangortv.my/ dan Facebook MediaSelangor.
Pembentangan juga disiarkan melalui media sosial Media Selangor seperti Instagram, X, Telegram, TikTok selain di MYTV MANA-MANA.


