ad
ADN

Kawasan Jalan Raya Timur Klang bakal jadi lokasi pelancongan

3 Nov 2024, 11:17 AM
Kawasan Jalan Raya Timur Klang bakal jadi lokasi pelancongan

SHAH ALAM, 3 NOV: Wakil rakyat Pandamaran berhasrat membangunkan kawasan di Jalan Raya Timur Klang menjadi lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar negara khususnya sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Tony Leong Tuck Chee berkata pihaknya akan mengadakan satu pertemuan dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kawasan di Jalan Raya Timur Klang mempunyai bangunan bersejarah berusia lebih 100 tahun termasuk beberapa kedai seperti Chong Kok Kopitiam yang boleh dibangunkan dan mampu menaikkan sektor pelancongan negeri.

“Saya telah berbincang dengan pemilik serta persatuan baru-baru ini dan mereka bersetuju. Oleh itu, saya akan adakan pertemuan dengan MBDK untuk membantu membangunkan kawasan tersebut.

“Jalan Raya Timur Klang boleh dibangunkan dan menjadi tumpuan sektor pelancongan kerana pelbagai kemudahan di kawasan setempat termasuk Stesen Transit Aliran Ringan (LRT),” katanya dihubungi Selangorkini.

Mengulas lanjut, Tony memaklumkan pihaknya merancang untuk menambah lagi lampu diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar untuk kemudahan rakyat.

“Sebelum ini, kita memasang 11 lampu solar di bawah peruntukan Kerajaan Negeri selain sembilan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di kampung -kampung tradisi.

“Terbaharu saya memohon 20 lagi lampu solar daripada Kerajaan Negeri dan sedang menunggu kelulusan. Kemudahan ini perlu supaya kawasan lebih selamat selain dapat meningkatkan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.