AGENDA

Amaran hujan lebat, ribut petir di empat negeri hingga 1 tengah hari

31 Okt 2024, 2:35 AM
Amaran hujan lebat, ribut petir di empat negeri hingga 1 tengah hari

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir bagi tiga negeri di utara Semenanjung dan beberapa kawasan di Sarawak sehingga 1 tengah hari ini.

Berdasarkan amaran yang dikeluarkan pada 9 pagi, ribut petir dijangka berlaku di seluruh daerah Pulau Pinang, serta di Kedah yang meliputi Langkawi, Kuala Muda, Kulim, dan Bandar Baharu.

Di Perak, kawasan yang terlibat termasuk Kerian, Larut, Matang, Selama, Manjung, dan Bagan Datuk, manakala di Sarawak, amaran melibatkan Kuching, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

- BERNAMA