Oleh Aliff Haiqal Mohamed
GOMBAK, 28 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat membina sebuah stadium khusus untuk permainan sukan elektronik (e-sukan) bagi memperkukuhkan lagi ekosistem industri sukan berkenaan.
Justeru, Dato' Menteri Selangor Dato' Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi merealisasikan hasrat itu.
"Insya-Allah saya cuba lihat dari kesempatan belanjawan ini, kalau ada kesempatan kita akan kenal pasti satu tempat untuk jadikan stadium Cyber Games.
"Kita sudah ada juara dunia, kita sudah melahirkan pingat di SUKMA dan pingat emas dalam kejohanan-kejohanan lain tapi kita masih tiada tempat yang khusus," katanya dalam ucapan Majlis Pra-Pelancaran Selangor Cyber Games di Dewan Beringin di sini, semalam.
Menurut Amirudin melalui usaha itu Kerajaan Negeri komited mengembangkan industri e-sukan sebagai kerjaya profesional dan mampu membantu kepada pembangunan ekonomi.
"Dan untuk bertahan dalam industri ini kita perlu bina ekosistem dan ekosistem ini lah yang sewajarnya kita kembangkan lagi termasuk latihan, penajaan, profesionalisme dan sebagainya.
"Dengan nilai-nilai ini lah yang akan membantu kita untuk mengembangkan bahawa e-sukan boleh menjadi satu kerjaya yang bermakna, boleh menjadi satu sokongan ekonomi," katanya.


