SHAH ALAM, 31 JULAI: Bantuan kewangan disalurkan Kerajaan Negeri membantu pasukan e-sukan Monster Vicious meraih kejayaan termasuk muncul dalam kelompok lima terbaik kejohanan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) musim lalu.
Ahlinya, Danial Amsyar Mohd Danial berkata berikutan itu pasukan berharap pentadbiran negeri menerusi Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus menyokong supaya mereka mampu mencapai kejayaan setanding Selangor Red Giants (SRG).
“Kami terima sumbangan RM50,000 untuk pembangunan pasukan. Ini merupakan sumbangan ketiga, sebelum ini terima dua kali untuk musim lepas dan memang kita lihat hasilnya.
[caption id="attachment_713279" align="aligncenter" width="1152"] Pasukan e-sukan Monster Vicious menerima bantuan kewangan ketika Program Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 31 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Sumbangan ini sangat besar untuk dana pembangunan terutama menaikkan taraf fasiliti bagi mencapai kejayaan. Kita ada sasaran kali ini dan mahu capai kejayaan seperti SRG,” katanya.
Terdahulu Monster Vicious menerima sumbangan Yayasan MBI berjumlah RM50,000 bagi tujuan pembangunan sukan.
Sementara itu atlet tinju profesional negara Aiman Abu Bakar berkata sumbangan diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengejar gelaran juara dunia WBC.
Bantuan ini akan digunakan sebaik mungkin. Ini sesuatu yang sangat bagus dalam membantu karier dan merupakan bantuan pertama negeri.
“Saya harap Yayasan MBI akan terus menyokong untuk saya ke pertandingan dunia yang dijadual berlangsung di Las Vegas tidak lama lagi,” katanya.
Tahun ini Yayasan MBI memperuntuk RM1 juta bagi pembangunan melibatkan aspek sukan, pendidikan serta pengupayaan.
[caption id="attachment_713252" align="aligncenter" width="1536"] Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyampaikan sumbangan kepada atlet tinju profesional negara Aiman Abu Bakar (tengah) ketika Program Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 31 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]