SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 5 petang.
Agensi itu di Facebook memaklumkan keadaan sama diramal melanda Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Cuaca buruk turut diramal melanda beberapa daerah di Kelatan, Terengganu dan Pahang.
MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



