SHAH ALAM, 14 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang hingga 6 petang ini.
Amaran hujan lebat disertai ribut petir juga dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya,beberapa daerah di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


