EXCO

EXCO: 10,000 pengunjung dijangka meriahkan sambutan Deepavali peringkat negeri

8 Okt 2024, 7:05 AM
EXCO: 10,000 pengunjung dijangka meriahkan sambutan Deepavali peringkat negeri

SHAH ALAM, 8 OKT: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Deepavali peringkat negeri di Dataran Klang @ Padang Chetty pada 26 Oktober ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata majlis bermula jam 6 petang itu bakal diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai tetamu kehormat.

“Kita jangka kehadiran 5,000 hingga 10,000 pengunjung kerana pada hari itu adalah cuti hujung minggu dan sudah pasti ramai berkesempatan untuk hadir.

“Program akan bermula dari jam 6 petang hingga 11 malam dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Papparaidu, antara pengisian program adalah persembahan kebudayaan masyarakat India selain pengunjung berpeluang merasai pelbagai makanan tradisional.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting itu menambah, pihaknya menyediakan 300 paket duit raya serta penyerahan cek cura bantuan yuran pengajian ke institusi pengajian tinggi dan bantuan penyelenggaraan sekolah Tamil.

Pesta Cahaya atau perayaan Deepavali bakal disambut penganut agama Hindu 31 Oktober ini.