SHAH ALAM, 24 SEPT: Fiesta Makanan Warisan Selangor dijadualkan berlangsung di Pantai Bagan Lalang, Kuala Langat pada November ini.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata program pada tahun ini memberi peluang orang ramai merasai pelbagai juadah tradisi seperti jawa, bugis, banjar dan minang yang popular di Selangor.
“Kita jangka program diadakan awal November dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli merasmikannya.
“Antara juadah yang kita bawa adalah punten iaitu makanan tradisi jawa yang popular di Selangor. Kita bercadang untuk mewartakan punten sebagai makanan tradisi Selangor seperti nasi ambeng dan sate Kajang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap semua agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan bekerjasama memperkenal makanan tradisi dalam membantu memperkasa identiti Selangor.
Pada 2022, nasi ambeng telah diwartakan sebagai makanan tradisi dan warisan Selangor serta pewartaan itu dibuat Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Malah, Kerajaan Negeri turut menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan menganjurkan fiesta hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia menerusi penyediaan 2,022 dulang hidangan di Pantai Bagan Lalang.
Selain nasi ambeng, Sate Kajang yang sinonim dengan bandar Kajang sejak 1917 turut diwartakan sebagai makanan tradisi warisan Selangor.


