SHAH ALAM, 11 SEPT: Orang ramai dipelawa menyertai Pesta Kelaut: Glamping @ Pantai Kelanang 2024 yang menyediakan lebih 18 acara menarik untuk seisi keluarga pada 14 hingga 15 September ini.
Program tahun kedua anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) itu membeli peluang pengunjung menyertai sukan rakyat antaranya pukul bantal, boling kelapa, lari dalam guni dan terompah gergasi.
"Tahun lepas acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Tahun ini pesta kelaut dianjurkan lagi dan telah menjadi acara tahun sekali gus menjadi satu jenama yang dinantikan orang ramai.
“Penglibatan serta kerjasama komuniti yang sangat baik terhadap program ini telah merancakkan eko-pelancongan setempat dan memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman seperti aktiviti menangkap pepahat yang semakin popular di kawasan Pantai Kelanang,” katanya.
MPKL memaklumkan pesta itu mengangkat nama Pantai Kelanang sebagai destinasi pelancongan dalam dan luar negeri sekali gus merancakkan industri pelancongan negeri.
“Pesta kelaut merupakan antara perancangan MPKL dalam menyokong serta menggiatkan usaha mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 sekali gus merancakkan industri pelancongan di negeri ini khususnya Kuala Langat ke persada antarabangsa,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Selangor, MPP Zon 18 dan MPP Zon 21, MPKK Kampung Kelanang, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Selangor dan Tourism Selangor serta Agrosel Kuala Langat dan Badan Kebajikan Sukarelawan Pantai Kelanang.