SHAH ALAM, 10 SEPT: Sebanyak 22,000 baucar Jom Shopping bernilai RM200 bakal diagih sempena sambutan Deepavali bulan depan, kata EXCO pembasmian kemiskinan.
V Papparaidu berkata program yang menyasarkan golongan memerlukan dan berpendapatan rendah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan peruntukan RM4.4 juta.
“Program Jom Shopping Deepavali akan berlangsung dari 1 hingga 27 Oktober.
“Baucar akan diserahkan wakil rakyat atau penyelaras DUN di pasar raya terpilih mengikut tarikh dan waktu ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.
[caption id="attachment_622061" align="alignleft" width="500"] EXCO Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman ketika sidang media pemberian baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 5 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Beliau berharap inisiatif itu akan meringankan beban penerima dan membantu mereka menyediakan kelengkapan menyambut perayaan itu.
Selain Deepavali, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diberi kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
Belanjawan tahun ini memperuntuk RM16.48 juta bagi memanfaatkan 82,400 penerima selepas nilai baucar dinaikkan dari RM100 ke RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.