ad
PBT

40 anak yatim terima sumbangan siswa RM500 dari Yide

7 Sep 2024, 11:39 AM
40 anak yatim terima sumbangan siswa RM500 dari Yide

SHAH ALAM, 7 SEPT: Seramai 40 anak yatim di negeri ini menerima sumbangan siswa bernilai RM500 daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata inisiatif itu bagi meringankan beban mereka yang juga alumni Yide itu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Program Sumbangan Siswa ini diharap dapat meringankan kos pendidikan, termasuk yuran pengajian, pembelian buku, dan keperluan harian.

“Kami berharap dapat memberi suntikan semangat dan peluang pendidikan yang setara kepada anak yatim ini sekali gus mereka dapat mencapai kecemerlangan akademik dan membina masa depan yang lebih cerah,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, serahan sumbangan disempurnakan oleh Nur Mohd Razali kepada semua anak yatim terlibat menerusi satu majlis yang diadakan di Restoran Al-Rawsha di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nur Mohd Razali mengajak semua pihak korporat dan individu untuk menyumbang dana bagi program pendidikan anak yatim termasuk pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah.

“Setakat ini dana terkumpul bagi pembangunan kompleks anak yatim adalah RM9.7 juta, manakala baki dana yang masih diperlukan adalah RM7.3 juta.

“Kami menyeru masyarakat untuk menjayakan pembangunan kompleks dengan kos keseluruhan sebanyak RM17 juta ini agar ia dapat disiapkan menjelang Januari 2026,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.