ad
ADN

Saifuddin mahu jadikan Batang Kali bandar warisan lemang

22 Apr 2024, 3:00 AM
Saifuddin mahu jadikan Batang Kali bandar warisan lemang
Saifuddin mahu jadikan Batang Kali bandar warisan lemang

HULU SELANGOR, 22 APRIL: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali bercadang membangunkan kawasan itu sebagai bandar warisan lemang.

Saifuddin Shafi Muhammad berkata rata-rata penduduk di situ terdiri daripada orang minang yang pandai dan aktif membuat serta berniaga lemang.

“Jadi, apa salahnya kita bangunkan Batang Kali ini sebagai bandar warisan lemang seperti mana di Kajang popular dengan juadah sate.

“Ini titik permulaan kita dan merupakan perancangan jangka panjang, kita pun memang sudah berjumpa pihak berkaitan untuk bincang perkara ini.

“Inisiatif ini tidak lain tidak bukan dapat menarik pelancong atau pelabur ke Batang Kali dan Hulu Selangor juga, mungkin selepas ini orang ramai nak makan lemang sedap mereka akan ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bikes Meet X Raya di Pusat Perdangangan Ara, Jalan Ara 4 Batang Kali di sini semalam.

[caption id="attachment_638879" align="alignnone" width="863"] Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad beramah mesra bersama peniaga ketika Bikes Raya Meet 2024 di Batang kali, Hulu Selangor pada 21 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Dalam perkembangan sama, Saifuddin menjelaskan pihaknya juga bercadang mewujudkan direktori qariah masjid dan surau di Batang Kali.

“Sebagai contoh sekiranya ada qariah yang memiliki perniagaan makanan, servis kereta atau apa sahaja jenis perniagaan kita mahu mereka maklumkan kepada kita kemudian kita akan wujudkan direktori.

“Matlamat kita adalah mahu membantu peniaga tempatan dengan menyokong beli produk mereka secara berjemaah. Insya-Allah, kita akan mula wujudkan (direktori) hujung Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.