EXCO

Kempen pelancongan global sasar lebih ramai pelawat Taiwan ke Selangor

20 Dis 2023, 7:54 AM
Kempen pelancongan global sasar lebih ramai pelawat Taiwan ke Selangor

SHAH ALAM, 20 DIS: Tourism Selangor melancarkan kempen pelancongan global di Taiwan, baru-baru ini bagi menarik lebih ramai pelawat antarabangsa khasnya negara itu ke Selangor tahun depan.

Dikenali sebagai “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!”, kempen menumpukan tarikan di anjung selatan dan utara negeri seperti ekopelancongan, taman tema, budaya dan warisan serta riadah.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim menjelaskan inisiatif tersebut berperanan penting untuk memupuk hubungan antarabangsa selain melonjak semula kedatangan pelancong dari Taiwan.

"Selangor menerima 75,783 pelancong Taiwan sebelum pandemik Covid-19 melanda, malangnya jumlah itu menurun kepada 68 peratus disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa sepanjang pandemik.

"Bagaimanapun, kita dapat melihat lonjakan pelancong dari Taiwan tahun lepas seramai 15,503 orang selepas larangan ditarik balik dengan 59 penerbangan seminggu," katanya dalam kenyataan.

Suee Lim berkata program yang mengimpunkan lebih 100 pembeli di Taipei dan Kaohsiung juga mempamer pelbagai gastronomi termasuk Bak Kut Teh dan budaya Kampung Komuniti Cina di Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Tambahnya, program turut memaparkan Sky Mirror di Kuala Selangor, pemandangan kelip-kelip (Sabak Bernam dan Kuala Selangor) serta aktiviti memberi makan helang (Kuala Selangor).

Pemain industri terlibat ialah Farm in the City, GL Play by Gamuda Land, Sky Mirror, Hong Long International Group Sdn Bhd, Golden Point, Pearl Holiday dan On Holiday Sdn Bhd.

Turut terlibat Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Pada 13 September, Suee Lim berkata Tahun Melawat Selangor 2025 bakal diperkenal bagi menyemarak industri pelancongan negeri dengan menyasar lapan juta pelancong tempatan dan luar negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.