SHAH ALAM, 19 NOV: Bermula tahun depan, persediaan pasukan Para Sukan Malaysia (SUKMA) akan diselia Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bagi memastikan atlet kurang upaya (OKU) dapat ke peringkat lebih tinggi.
EXCO sukan berkata ketika ini hanya sukan bawah Majlis Paralimpik Malaysia diiktiraf sebagai sukan prestasi tinggi menyebabkan penglibatan atlet OKU terhad kerana perlu mengikut pengelasan kategori.
“Bagi memastikan persiapan berjalan lancar, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kewangan khusus bagi kontinjen Para SUKMA, yang diselaras bersama kontinjen SUKMA arus perdana.
“Walaupun status ‘sukan prestasi tinggi’ hanya diberikan kepada sukan para, ini tidak sekali-kali bermaksud bahawa Kerajaan Negeri mengetepikan atlet OKU pendengaran atau atlet Special Olympics.
“Kerajaan Negeri turut menyalurkan sokongan dan bantuan kepada mereka berdasarkan keperluan serta kesesuaian program masing-masing,” kata Najwan Halimi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Setakat ini, beliau berkata tiada atlet OKU dipinggirkan menyertai sukan di peringkat lebih tinggi sebaliknya negeri memastikan peruntukan bagi persediaan kontinjen Para SUKMA setara dengan atlet kategori prestasi tinggi.
SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.
Sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.





