ad
AGENDA

Negeri pergiat promosi pelancongan, kekal destinasi paling ramai dilawati

13 Sep 2023, 12:00 PM
Negeri pergiat promosi pelancongan, kekal destinasi paling ramai dilawati

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pengenalan Tahun Melawat Selangor 2025 dijangka memberi impak terhadap jumlah ketibaan pelawat ke negeri ini, kata EXCO pelancongan.

Ng Suee Lim mengunjurkan pertambahan lima hingga 10 peratus kehadiran pelancong pada tahun tersebut, sekali gus mengekalkan negeri ini sebagai destinasi pilihan nombor satu dalam negara.

"Tahun Melawat Selangor salah satu cara untuk mengetengahkan produk pelancongan negeri yang indah, cantik serta menarik.

"Kepelbagaian produk pelancongan mendorong minat lebih ramai orang untuk bercuti ke Selangor dan kita mahu tingkatkan lagi jumlah pelancong.

"Sekarang Selangor jadi negeri paling ramai dilawati pelancong dan kita mahu pastikan Selangor kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong ," katanya kepada Selangorkini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 27 Jun, Selangor mencatat kedatangan 22 juta pelancong domestik tahun lalu, jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.

Angka itu meletakkan Selangor sebagai negeri teratas meninggalkan Kuala Lumpur dengan 16.9 juta diikuti Sarawak (15.5 juta), Perak (14.6 juta) dan Pahang (13.2 juta).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor memperkenal kempen “Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu! yang menawarkan pelbagai segmentasi pelancongan untuk menggamit pelancong.

Cabang pelancongan itu merangkumi gastronomi, pelancongan berbasikal, pelancongan agro dan pelancongan eko.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.