Oleh Shamz Johan
SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mempelawa orang ramai menyertai akademi teater dan tarian yang dianjurkan secara percuma pada Februari, Mac dan Mei tahun ini.
Kelas tarian diadakan pada Februari (11, 25 hari bulan), Mac (4, 18 hari bulan) dan Mei (13, 27 hari bulan). Kelas tarian pula berlangsung Februari (12, 19 hari bulan), Mac (5, 18, 19 hari bulan) dan Mei (7, 14, 18 hari bulan).
Program bertempat di Galeri MPAJ, Menara MPAJ Pandan Indah itu turut melibatkan guru dari Sekolah Seni Malaysia dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai jurulatih.
"Seramai 25 orang peserta telah diberi pendedahan mengenai lontaran suara, nyanyian serta proses produksi sesebuah pementasan pada kelas teater yang diadakan.
"Bagi kelas tarian pula, seramai 21 peserta telah mengambil bahagian. Peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur diajar tarian tradisional melayu," maklum MPAJ menerusi kenyataan.
Akademi Kebudayaan MPAJ mempelawa orang ramai yang berminat untuk bergiat dalam seni tarian dan pementasan teater boleh mendapatkan maklumat terkini melalui Facebook MPAJ.




