ad
PBT

Thaipusam: Undian, jualan tapak gerai di Batu Caves pada 19 Januari

12 Jan 2023, 9:58 AM
Thaipusam: Undian, jualan tapak gerai di Batu Caves pada 19 Januari
Thaipusam: Undian, jualan tapak gerai di Batu Caves pada 19 Januari

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengadakan undian dan jualan 236 petak gerai sempena perayaan Thaipusam di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, Batu Caves pada 19 Januari ini.

Bahagian perhubungan awam jabatan korporat MPS memaklumkan undian pada 9 pagi hingga 1 tengah hari melibatkan petak gerai perniagaan kering, makanan dan minuman, gunting rambut serta kendera saji.

Menurut MPS, sebanyak 15 petak diperuntuk kepada persatuan orang kurang upaya (OKU) manakala 221 petak lagi dibuka untuk jualan dengan 85 daripadanya adalah petak ‘hotspot’ (kawasan tumpuan pengunjung).

“110 petak disediakan untuk perniagaan kering, makanan dan minuman yang ditawarkan dengan harga RM200, 16 petak perniagaan gunting rambut (RM250), 10 petak kendera saji (RM200), 50 petak ‘hotspot’ perniagaan kering, makanan dan minuman (RM500) dan 35 petak ‘hotspot’ perniagaan gunting rambut (RM600).

“Tempoh pembelian semua petak bermula pada 19 hingga 23 Januari ini dan kadar harga yang ditawarkan adalah berbeza mengikut tarikh jualan. Jika pemohon membuat pembelian di pejabat atau di tapak ketika hari kejadian kadar harga adalah lebih tinggi," kata MPS menerusi kenyataan.

MPS memberitahu peniaga dan pembantu yang menjual makanan dan minuman diwajibkan mengambil suntikan tifoid dan sijil kursus pengendalian makanan.

Untuk perniagaan gunting rambut pula, pemohon dan pembantu perlu memiliki sijil pemeriksaan kesihatan (hepatitis B, HIV & tibi).

"Peniaga dilarang menggunakan bekas makanan atau minuman daripada polisterina. Pemakaian pelitup muka digalakkan untuk peniaga makanan dan minuman selain menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai dan pemadam api mudah alih," katanya.

Peniaga terlibat boleh memulakan perniagaan pada 3 hingga 6 Februari di tapak disediakan sekitar Batu Caves. Maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-6126 5940/03-6126 5941/03-6126 5942/03-6126 5943.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.