AGENDA

HARAPAN desak segera tangani harga atau hadapi kemarahan rakyat

22 Jun 2022, 4:36 AM
HARAPAN desak segera tangani harga atau hadapi kemarahan rakyat

SHAH ALAM, 22 JUN - Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajaan segera mengawal kenaikan harga barang ketika ini susulan pembatalan kawalan harga ayam dan telur serta subsidi minyak masak.

Dalam kenyataannya hari ini, Majlis Presiden gabungan tersebut mendesak pelan menangani subsidi harga makanan asas dan kos sara hidup 'dalam masa 24 jam'.

"Sekiranya gagal, menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam isu kos sara hidup juga wajib meletakkan jawatan," kata presiden empat parti HARAPAN dalam kenyataan bersama.

"Pakatan Harapan juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat."

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden UPKO Datuk Seri

Madius Tangau.

Semalam, kerajaan memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan menjelang 1 Julai.

Dalam kenyataan sama, HARAPAN juga menegaskan ia menegur berkali-kali di sidang Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat dan mengambil tindakan tahun lalu.

"Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para menteri dalam menangani masalah kos sara hidup," kata Majlis Presiden itu lagi.

"Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat."

HARAPAN mendesak kerajaan mengumumkan mekanisme, dana dan garis masa pelaksanaan subsidi bersasar sebelum pemansuhan subsidi dan harga siling sebelum 1 Julai.

"(Kelewatan kerajaan) ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barang kali meningkat berkali ganda," katanya.