ad
ADN

Wakil rakyat agih 100 pengukur oksigen kepada penduduk Subang Jaya

23 Sep 2021, 6:29 AM
Wakil rakyat agih 100 pengukur oksigen kepada penduduk Subang Jaya

SHAH ALAM, 23 SEPT: Ahli Dewan Negeri Subang Jaya mengagihkan 100 oximeter atau pengukur kandungan oksigen dalam tubuh kepada komuniti sekitar DUN itu semalam.

Michelle Ng Mei Sze berkata alatan berkenaan diserahkan kepada beberapa rukun tetangga, pertubuhan penduduk dan badan pengurusan bersama pangsapuri (JMB).

“Oximeter ini diterima daripada seorang penyumbang. Ia akan dipinjamkan kepada individu memerlukannya terutama sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Apabila tempoh itu tamat peminjam perlu memulangkan semula kepada wakil penduduk dan akan disanitasi sebelum dipinjamkan kepada pesakit lain,” katanya menerusi kenyataan.

Michelle Ng berkata pihaknya mengajar cara penggunaan alat itu kepada wakil penduduk termasuk tahap bacaan oksigen diperlukan badan.

“Saya berharap oximeter ini dapat membantu pesakit yang tidak dirawat di hospital. Alat ini juga mampu menjamin kesihatan serta melindungi nyawa masyarakat,” katanya.

Pada Julai Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengagihkan 7,000 kit penilaian di rumah yang turut mengandungi oximeter bagi membantu pesakit Covid-19 memantau tahap kesihatan ketika tempoh kuarantin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.