AGENDA

Lebih 7,000 mahasiswa kelahiran Selangor dapat bantuan makanan

8 Jul 2021, 8:44 AM
Lebih 7,000 mahasiswa kelahiran Selangor dapat bantuan makanan

SERDANG, 8 JULAI: Seramai 7,200 pelajar kelahiran Selangor di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menerima bantuan makanan dan keperluan diri daripada Kerajaan Negeri.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata agihan tersebut bagi membantu meringankan beban mereka yang terkandas di kampus susulan pelaksanaan perintah kawalan penuh.

"Kita bekalkan mereka dengan makanan kering yang sesuai, air mineral dan barang keperluan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, berus gigi dan sabun mandi.

"Sekarang pergerakan mereka juga terbatas. Jadi bantuan ini dapat membantu selain meringankan kos sara hidup," katanya selepas menyerahkan bantuan tersebut di Universiti Putra Malaysia hari ini.

Amirudin berkata sumbangan melalui program Pembangunan dan Kebajikan Mahasiswa Anak Negeri Selangor selesai diagihkan kepada 2,700 pelajar di IPT seluruh negara.

Pusat pengajian itu termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan.

Inisiatif bernilai RM1.5 juta itu sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato' Menteri Besar pada 9 Jun yang bakal memanfaatkan lebih 7,000 mahasiswa yang lahir di negeri ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.