GLOBAL

Hurikan Michael badai Cuba barat dengan anging kencang, hujan lebat

9 Okt 2018, 4:04 AM
Hurikan Michael badai Cuba barat dengan anging kencang, hujan lebat
Hurikan Michael badai Cuba barat dengan anging kencang, hujan lebat

HAVANA, 9 OKT: Hurikan Michael telah membadai bahagian hujung Cuba barat dengan angin kencang serta hujan lebat ketika melewati Selat Yucatan menuju ke Teluk Mexico, di mana ia berpotensi menjadi taufan yang kuat dalam tempoh beberapa hari, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada pukul 3 petang waktu tempatan Isnin, mata hurikan itu melewati Tanjung San Antonio, titik paling barat di kepulauan Caribbean, ketika hujan lebat dan angin kencang membadai wilayah Pinar del Rio dan Isle of Youth.

Agensi Pertahanan Awam negara itu telah mengeluarkan amaran hurikan bagi kedua-dua wilayah dan mengekalkan pemantauan di wilayah-wilayah barat Artemisa, Mayabeque dan ibu kota Havana.

Ribut itu bertukar menjadi hurikan kategori 1 pada skala Saffir-Simpson tengah hari Isnin dengan kelajuan angin maksimum 120 kilometer sejam.

Menurut ketua meteorologi pulau itu, Jose Rubiera, Michael dijangka terus menjejaskan rantau tersebut pada pagi Selasa sebelum bergerak ke Teluk Mexico.

Trajektori hurikan itu menunjukkan bahawa kekuatannya akan bertambah ketika melewati Teluk Mexico pada pagi Selasa dan Rabu sebelum mendarat di negeri Florida, Amerika Syarikat dengan potensi menjadi ribut kategori 3.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.