SHAH ALAM, 13 OKT: Ekosistem industri halal negeri terus diperkukuh dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.
EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Kerajaan Negeri bukan sahaja membantu daripada aspek tempoh pemprosesan, malah menyediakan peruntukan yang sewajarnya.
"Selangor merupakan negeri pertama yang memberi jaminan bahawa pemohon sijil halal buat kali pertama akan menerima keputusan kelulusan atau sebaliknya dalam tempoh 30 hari.
"Bagi permohonan pembaharuan sijil pula, tempoh itu dikurangkan kepada 7 hari atau mungkin juga 48 jam. Tiada lagi alasan untuk mana-mana perusahaan tidak memperoleh sijil halal,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menambah pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah bagi membantu usahawan dan perniagaan halal yang sukar menembusi pasaran antarabangsa.
“Perniagaan perlu lebih berinovasi dengan menghasilkan lebih banyak produk untuk dipasarkan ke luar negara.
"Kita telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa badan pensijilan halal luar negara bagi mengenal pasti pasaran yang sesuai untuk produk yang boleh dikeluarkan oleh negara ini,” katanya.
Jelas Mohammad Fahmi, pihaknya turut menasihati usahawan mengambil inisiatif untuk membangunkan produk terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke luar negara.
“Jika mereka melaksanakan perkara ini, tiada sebab mengapa mereka tidak boleh membangunkan produk halal yang mampu bersaing di pasaran global yang luas.”