SHAH ALAM, 9 JUN: Kemelut politik di Asia Barat yang mencetuskan lonjakan harga bahan api global kini mula memberi impak rantaian kepada pelbagai sektor industri di Selangor, sehinggakan ada yang terpaksa mengurangkan pengeluaran demi kelangsungan operasi.
Susulan itu, beberapa persatuan perniagaan menggesa Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif termasuk menyediakan subsidi bersasar, rebat fi lesen, serta mengawal persaingan pasaran bagi mengelakkan gelombang kenaikan harga barangan daripada terus membebankan pengguna.
Sebelum ini, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri bakal mengadakan sesi meja bulat bersama wakil-wakil dewan perniagaan dalam masa terdekat bagi memperincikan strategi mendepani impak krisis tenaga berkenaan.
Kos Plastik Pembungkusan Melonjak 150 Peratus Presiden Persatuan Pengilang Makanan Malaysia (PPMM), Ding Hong Sing mendedahkan, industri makanan dan minuman (F&B) antara yang paling terjejas teruk berikutan 90 peratus daripada operasi pengeluaran dan logistik mereka bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel.
"Bahan mentah utama seperti plastik pembungkusan makanan yang berasaskan petroleum kini sudah melonjak sehingga 150 peratus, selain berdepan masalah gangguan bekalan. Kenaikan harga petroleum global ini jelas memberi kesan domino kepada pengilang.
"Kami sudah mengadakan pertemuan dengan Sze Han pada April lalu untuk menyampaikan memorandum industri. Kami memohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pelepasan cukai tanah serta pengurangan fi pembaharuan lesen perniagaan yang dilaporkan meningkat sehingga RM1,200 bagi sesetengah kilang," katanya kepada Media Selangor.
Hong Sing menambah, memandangkan pengilang bertindak sebagai pemborong, mereka tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya berbanding peniaga kecil kerana terikat dengan kontrak rantaian pasar raya.
"Bagi syarikat saya sendiri, perbelanjaan bagi kos diesel sahaja sudah meningkat antara RM76,000 hingga RM100,000 berbanding beberapa bulan lalu. Disebabkan pasar raya tidak membenarkan kenaikan harga borong, kami terpaksa mengambil langkah mengurangkan rantaian pengeluaran untuk mengurangkan kerugian," jelasnya yang menjangkakan trend peningkatan kos ini akan berlarutan melampaui Jun sekiranya konflik global belum reda.
Sektor Kejuruteraan Tertekan, Saingan Warga Asing
Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Pengasas dan Kejuruteraan Selangor dan Kuala Lumpur (SAFMA), Lam Ming Swee menyatakan, rantaian logistik serta kos pengimportan komponen mesin bagi sektor mekanikal kini telah meningkat di bawah paras 20 peratus.
Meskipun majoriti ahli persatuan masih memilih untuk menyerap kos peningkatan tersebut, namun margin keuntungan yang semakin mengecil mungkin memaksa mereka memindahkan sebahagian kos itu kepada pelanggan sekirangan tekanan pasaran berterusan.
Selain isu kos bahan api, Ming Swee turut membangkitkan isu persaingan tidak sihat melibatkan lambakan pengusaha warga asing yang mula memonopoli pasaran tempatan.
"Segelintir pengusaha warga asing ini membawa masuk komponen murah dari luar negara, sekali gus menjejaskan daya saing pemain industri tempatan.
"Kami berharap Kerajaan Selangor dapat menguatkuasakan sekatan atau kawalan yang lebih ketat terhadap pengoperasian peniaga asing ini, di samping menyalurkan bantuan kewangan atau insentif khas bagi subsidi diesel," katanya.







