KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Hari kedua Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 terus membuka ruang luas kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk memperkenalkan produk tempatan ke pasaran dunia.
Pengurus Eksport Sparkles Group Sdn Bhd, Ermawati Amir, 26, yang menjual bertih jagung pelbagai perasa sejak 2020 berkata, penyertaan kali kedua di MIHAS 2025 memberi impak besar terhadap perniagaannya.

"MIHAS sangat membuka peluang untuk IKS memperkenal budaya dan citarasa Malaysia. Selepas sertai, produk kami berjaya masuk ke Singapura dan Jepun, dan harapan saya ia terus ke lebih banyak negara," katanya.
Beliau turut menyeru pengusaha, khususnya usahawan kecil supaya tidak melepaskan peluang menyertai MIHAS pada masa hadapan.
Bagi jurujual Hijora Kenaf, Muhd Helmi Makhtar, 30, penyertaan pertama syarikatnya di MIHAS membuahkan hasil positif.
Katanya, produk berasaskan pokok kenaf yang diubah menjadi arang untuk menyerap bau itu merupakan inovasi baharu diperkenalkan awal tahun ini.

"Saya sertai MIHAS untuk perluaskan pasaran dan bina rangkaian. Dalam dua hari ini sambutannya sangat baik, malah ada yang mula berminat dengan produk arang kenaf kami," katanya.
Beliau juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan usahawan lain untuk memperluas pasaran sehingga ke Asia Tenggara.
Bagi Pengurus Luar Reka Jaya Plantation Sdn Bhd, Edward C K Yong, 61, MIHAS menjadi pentas terbaik memperkenalkan kopi asli Sarawak ke pasaran luar negara.

"Sejak menyertai MIHAS, produk kopi kami lebih dikenali di pasaran Semenanjung dan antarabangsa. Dengan sijil halal, kami dapat membuka pasaran lebih luas, malah kopi kami kini sudah ke Maldives dan New Zealand,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pasaran Antarabangsa Perbadanan Kemajuan Pertaniah Selangor (PKPS) berkata produk mereka mendapat perhatian, khususnya jenama EHSAN yang menjadi tumpuan ramai pada hari kedua MIHAS.

"MIHAS adalah platform terbaik untuk usahawan baharu di samping luaskan jaringan, tetapi sijil halal tetap perlu ada untuk memudahkan produk tembus ke pasaran global," jelas Mohd Fazir Abdul Latif, 49.
Peserta kali pertama, Salsabeel, 32, yang berkhidmat sebagai Ketua chef di Syarikat Kayra berkata produknya, pes resepi India yang baru diperkenalkan awal tahun ini sudah menarik minat pembeli di MIHAS meskipun baru memasuki hari kedua.

"Kami sertai MIHAS kerana ia satu acara yang besar dan memberi peluang kami bertemu pembeli baharu, malah sudah ada tempahan awal. Saya berharap MIHAS dapat bantu produk ini untuk dieksport selepas ini," katanya.
Bagi Pengarah Urusan Cr Mineral, Shah Mujaddidi, 52, pula, sambutan pelawat antarabangsa terhadap produk sertunya amat memberangsangkan.

"Ramai pihak terutama syarikat mencari produk sebegini tetapi sukar ditemui. MIHAS jadi pusat sehenti untuk kami perkenalkan produk patuh syariah ini kepada pembeli, dan kini sudah ada potensi kerjasama luar negara," katanya yang menambah Sertu D.I.Y mula ditubuhkan pada 2019.
Beliau berharap penganjuran MIHAS akan terus diperluas dan ditambah baik pada masa hadapan, khususnya dengan penyertaan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai pempamer.