SHAH ALAM, 25 DIS: Operasi Ehsan Dairy Farm di Hulu Selangor yang menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka berkualiti tinggi jenis Jersey-Holstein Friesian (F2) dari Australia dijangka beroperasi Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata ketika ini kerja pembinaan berjalan lancar dengan hampir 70 peratus struktur utamanya siap.
Dari aspek sistem terutama melibatkan peralatan tenusu, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menjelaskan ia sudah selesai sepenuhnya, dengan 80 peratus keperluan produk sudah ditempatkan di kawasan terbabit.
“Sepatutnya beroperasi Januari ini namun berlaku kelewatan disebabkan beberapa faktor termasuk cuaca tidak menentu. Sehubungan itu jadual operasi diselaraskan sebagai langkah pengurusan risiko.

“Ini bagi memastikan Ehsan Dairy Farm dapat beroperasi dengan stabil, selamat dan mampan untuk tempoh jangka panjang. Kemajuan pembinaan memberangsangkan dan dipantau setiap masa,” katanya kepada Media Selangor.
Pusat tenusu atas tanah 42 ekar itu disasar menghasilkan sehingga 1.8 juta liter susu segar setahun, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan pengimportan produk berkenaan.
PKPS menjangkakan pusat itu akan memberi impak ekonomi dengan menjana pendapatan tahunan melebihi RM7.5 juta selain menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan.
Pada Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat berkenaan.




