Empat ahli Geng Tokwan tumpas, ganja lebih tiga kilogram dirampas

29 Nov 2026, 11:00 AM
Empat ahli Geng Tokwan tumpas, ganja lebih tiga kilogram dirampas

JITRA, 29 NOV: Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kumpulan Geng Tokwan dan merampas 3,179.07 gram ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Maggol, Jalan Bukit Wang di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata suspek berusia 43 hingga 67 tahun dan kumpulan itu dipercayai memperoleh bekalan dadah daripada pengedar tempatan untuk diedarkan di sekitar Kubang Pasu dan Alor Setar.

Beliau berkata ketika serbuan, suspek berusia 61 tahun bertindak melarikan diri sambil membawa sebungkus plastik berwarna merah hitam bertulis tomato spicy flavoured cracker yang berada di lantai rumah itu.

“Suspek berjaya ditahan di bahagian belakang rumah yang dikepung polis dan pemeriksaan lanjut menemukan tiga bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuhan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat kasar 3,119.04 gram.

“Pemeriksaan di ruang tamu rumah menemukan satu paket plastik lutsinar berisi tumbuhan disyaki ganja 8.58 gram serta satu plastik hijau mengandungi bungkusan plastik lutsinar dan perak berisi bunga ganja 51.45 gram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Radzi berkata dadah itu bernilai RM9,600 dan boleh digunakan kira-kira 3,000 penagih.

Selain itu, polis menyita sebuah motosikal Honda Vario dianggarkan bernilai RM6,000.

Beliau berkata dua lelaki terlibat mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan saringan awal air kencing semua suspek didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis akan mempergiat usaha membanteras pengedaran dadah dan mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata pihak berkuasa akan terus memperketat kawalan dan pemeriksaan, khususnya di pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam sepanjang cuti sekolah ini bagi mengekang kegiatan jenayah.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.