SHAH ALAM, 3 SEPT: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun ditahan Jabatan Kastam Chennai, India selepas cuba menyeludup 3.452 kilogram (kg) ganja hidroponik bernilai kira-kira 1.20 crore (RM520,000) ke negara itu, 31 Ogos lalu.
Menurut laporan United News of India (UNI), suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna, Chennai dari Kuala Lumpur sebelum cuba keluar melalui laluan Green Channel tanpa membuat sebarang pengisytiharan kepada pihak Kastam.
Bagaimanapun, pergerakannya menimbulkan syak pegawai Air Intelligence Unit (AIU) Kastam Chennai yang menjalankan pemeriksaan berdasarkan pemprofilan penumpang.
Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi daftar masuk suspek menemukan empat peket lutsinar kedap udara yang disembunyikan dalam ruang dasar palsu bagasi berkenaan.
Peket terbabit mengandungi bahan kering berwarna hijau kecoklatan yang dipercayai ganja hidroponik dengan berat bersih 3,452 gram.
Ujian menggunakan kit pengesanan dadah mengesahkan bahan itu positif ganja sebelum dirampas mengikut peruntukan Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985 India.
Suspek kemudiannya ditahan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan direman dalam tahanan kehakiman, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan kemungkinan kaitannya dengan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa.
Kes berkenaan merupakan kes kedua membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di Chennai kerana membawa ganja hidroponik dalam tempoh sebulan.
Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki Malaysia berusia 54 tahun dari Perak ditahan di Chennai bersama 4.033kg ganja hidroponik selepas tiba dari Bangkok.
Kastam India mengesahkan kes berkenaan, manakala Bukit Aman memaklumkan bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari Thailand.







