Kontroversi lumba jalan kaki, menteri mahu penjelasan terbuka

29 Nov 2026, 9:15 AM
Kontroversi lumba jalan kaki, menteri mahu penjelasan terbuka

SUNGAI PETANI, 29 NOV: Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari mahu penjelasan terbuka dibuat susulan kontroversi acara lumba jalan kaki pada Kejohanan Program Pembangunan Junior (JDP) 2026 di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi.

Beliau berkata pihak penganjur dan panel hakim bagi kejohanan tersebut perlu memberikan penjelasan secara terbuka kepada atlet serta ibu bapa terlibat bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Menurut beliau, kejohanan tersebut dianjurkan Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan dan bukan di bawah kelolaan kementerian (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Pendidikan.

"Kita tidak boleh membiarkan pengalaman awal mereka (atlet muda) di trek itu mematahkan semangat untuk terus bersukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sekolah Angkat MADANI dan Anugerah Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kuala Muda di sini, hari ini.

"Apa pun itu, saya tak nak perkara ini berlaku dalam mana-mana program di bawah KBS, khususnya dalam kita nak menghadapi Sukan SEA 2027.

"Acara lumba jalan kaki turut dipertandingkan dalam Sukan SEA 2027, jadi berdasarkan insiden tersebut, saya ingin MSN memantau secara rapi, terperinci dan secara penuh," katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata pemantauan rapi serta menyeluruh juga perlu dilakukan khususnya dalam aspek kepegawaian dan kejurulatihan bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukan SEA 2027.

Katanya, kedua-dua aspek berkenaan perlu dititikberatkan bagi mengelakkan berlakunya insiden yang tidak diingini khususnya membabitkan keputusan penghakiman dalam pertandingan.

"Kita melihat yang paling penting adalah latihan kepegawaian dan juga latihan teknikal itu mestilah baik dan benar.

"Saya ingin memastikan bahawa MSN memantau semua pegawai teknikal, kejurulatihan dan juga apa-apa yang berkaitan dalam menentukan kemenangan sukan dan sebagainya, supaya ia tidak berlaku dalam mana-mana acara di bawah kelolaan KBS, " katanya.

Sementara itu, beliau berkata RM100,000 diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan di SK Kota Kuala Muda menerusi program Sekolah Angkat MADANI di bawah agensi KBS, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Beliau berkata peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf makmal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sebuah bilik mesyuarat yang sebelum ini berada dalam keadaan usang.

Katanya, penambahbaikan itu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan lebih baik serta selesa kepada pelajar serta guru.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.