KUALA LUMPUR, 8 NOV: Pesara mengalami kerugian RM179,490 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis, September lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 73 tahun itu pada mulanya dihubungi dua individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis yang mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram serta pengedaran dadah, sebelum mengarahkannya menyerahkan kad bank, wang tunai dan barangan kemas bagi tujuan siasatan.
Beliau berkata mangsa yang panik kemudian bersetuju bertemu dengan suspek di sebuah apartmen di Sri Petaling pada 8 September lalu bagi menyerahkan wang dan barangan berharga seperti diarahkan.
“Akibat kejadian itu, mangsa kerugian keseluruhan RM179,490 membabitkan wang tunai, pembelian emas dan pemindahan wang ke tiga akaun pihak ketiga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hoo berkata mangsa yang menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan tampil membuat laporan polis.
Beliau berkata polis sedang menyemak maklumat dengan syarikat telekomunikasi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.







