SHAH ALAM, 29 NOV: Dua remaja lelaki berusia 14 tahun didenda keseluruhan RM9,300 selepas mengaku bersalah melakukan aksi ‘wheelie’ dan menunggang motosikal sebelum mencapai umur dibenarkan.
Hukuman diputuskan Majistret Mohd Nazri Omran hari ini selepas kedua-dua pelajar tingkatan dua itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa menduga kelajuan motosikal secara berbahaya sambil melakukan aksi mengangkat tayar hadapan lebih daripada sekali sehingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menunggang motosikal di jalan raya meskipun belum mencapai umur dibenarkan.
Kedua-dua kesalahan dilakukan di Jalan Perindustrian Padang Tembak, Kota Bharu kira-kira jam 6.50 petang pada 19 November lalu.
Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 memperuntukkan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Seorang daripada mereka turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14(1) akta sama kerana menggunakan motosikal tanpa mempamerkan nombor pendaftaran hadapan.
Kedua-dua remaja yang tidak diwakili peguam dan hadir bersama ibu bapa masing-masing merayu hukuman ringan, manakala Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Afifi Jannati Asshaari memohon hukuman setimpal.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan RM1,000 terhadap tertuduh pertama, manakala tertuduh kedua didenda RM4,300.






