Guru didakwa cuai hingga pelajar maut mengaku tidak bersalah

13 Okt 2026, 3:46 AM
Guru didakwa cuai hingga pelajar maut mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM, 13 OKT: Guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas dua pertuduhan cuai sehingga menyebabkan pelajar Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, April lalu.

Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Sakinah didakwa melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di kawasan surau sekolah berkenaan pada jam 1.40 tengah hari, 12 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Sakinah didakwa cuai dengan melanggar seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan Satu menggunakan kenderaan Honda HRV sehingga membahayakan nyawa mangsa pada waktu dan lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah yang menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.

Bagaimanapun, Muhammad Hasif memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya yang juga seorang ustazah mempunyai rekod disiplin baik, memberi kerjasama serta tidak pernah terbabit dengan sebarang kesalahan, selain pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak dua kali.

"Selain itu, anak guam saya juga penerima anugerah guru personaliti terbaik pada tahun lalu di sekolah berkenaan dan akan bersara pada 16 November depan," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 6 Disember untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh kenderaan dipandu guru wanita di hadapan surau sekolah berkenaan pada 12 April lalu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.