Kolam tadahan dicadang tampung lebihan air hujan sebelum disalurkan ke sungai.

29 Nov 2026, 9:00 AM
Kolam tadahan dicadang tampung lebihan air hujan sebelum disalurkan ke sungai.

SHAH ALAM, 29 NOV: Pembinaan kolam tadahan berskala besar dengan anggaran peruntukan awal RM150 juta antara langkah dicadangkan bagi menangani masalah banjir termenung di kawasan rendah, khususnya di Kuala Selangor.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir. Izham Hashim berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah air bertakung berikutan keadaan muka bumi yang rendah dan rata menyebabkan air sukar mengalir keluar, terutama ketika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.

“Air di kawasan ini dia agak rendah dan rata. Jadi air termenung. Itu yang menyebabkan lambat (mengalir). Air sungai pula tinggi, ditambah air pasang besar pula lagi bertambahlah.

“Sebab itu dalam pertemuan baru-baru ini yang dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA (Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) kita ada cadangan untuk selesaikan isu air termenung ini dengan pembinaan kolam yang besarlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurkan perasmian penutup Program Ehsan Family Fiesta 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, hari ini.

Menurutnya, kolam tadahan itu dicadangkan bagi menampung lebihan air hujan sebelum disalurkan ke sungai.

Jelasnya, konsep berkenaan mengambil ilham daripada pendekatan Room for Rivers di Belanda yang menyediakan kawasan takungan di sepanjang sungai bagi menampung lebihan air ketika hujan.

“Dia mula daripada kawasan yang rendah itu, lepas pada Puncak Alam hingga sepanjang Sungai Buloh. Konsep ini kita ambil ilham daripada Room For Rivers di Belanda. Di mana dia sediakan bilik ataupun kolam di sepanjang sungai itu, di kawasan yang rendah. Bila hujan lebat air akan masuk kolam ini. Sebab kalau tidak, dia akan lambat pergi ke sungai.

“Jadi kawasan yang rendah itu bermula daripada Bukit Hijau, Parit Mahang, Kampung Harmoni. Semua itu akan dapat manfaatlah. Insya-Allah. Itu akan kita usahakan.

“Peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dan juga negeri besar. Peringkat awal ini RM150 juta. Ada lagi tambahan sebab kita ada melibatkan pengambilan tanah untuk buat kolam ini,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan meneliti bantuan tambahan kepada penduduk yang kediaman mereka dilanda banjir termenung di tiga kawasan iaitu Parit Mahang, Kampung Ijok dan Kampung Bukit Hijau di Kuala Selangor.

Menurut Amirudin bentuk bantuan tambahan kepada penduduk yang terjejas akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua unit pam air tambahan dipasang di sekitar Kampung Parit Mahang dan Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor bagi mempercepatkan proses pengaliran air banjir.

Menurutnya, langkah itu susulan tinjauan mendapati kedua-dua kawasan berkenaan masih berdepan masalah air banjir termenung yang mengganggu keselesaan serta urusan harian penduduk.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.