SHAH ALAM, 15 NOV: Dua unit pam air tambahan sedang dipasang di sekitar Kampung Parit Mahang dan Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor bagi mempercepatkan proses pengaliran air banjir yang masih belum surut sepenuhnya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu diambil susulan tinjauan mendapati kedua-dua kawasan berkenaan masih berdepan masalah air banjir termenung yang mengganggu keselesaan serta urusan harian penduduk.
“Sebagai langkah penyelesaian segera, kerja-kerja pemasangan dua unit pam air tambahan sedang giat dijalankan pada hari ini.
“Penambahan ini melengkapi dua unit pam sedia ada yang telah pun beroperasi di Jambatan Parit Mahang sebelum ini bagi mempercepatkan proses pengaliran air yang tersekat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berharap pengoperasian kesemua empat unit pam berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah air termenung di Parit Mahang dan Bukit Hijau dalam tempoh terdekat.
Dzulkefly turut memberi jaminan perkembangan situasi di kawasan terjejas akan terus dipantau bagi memastikan kebajikan dan keselesaan penduduk Kuala Selangor terpelihara.
Sebagai rekod, setakat jam 9 malam, enam pusat pemindahan sementara sekitar Kuala Selangor masih aktif. Seramai 1,377 mangsa terjejas banjir yang terdiri daripada 364 keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.









