SHAH ALAM, 29 NOV: Orang ramai diminta tidak panik sekiranya telefon bimbit mengeluarkan bunyi amaran khas dan memaparkan mesej ujian hari ini berikutan pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) di seluruh negara.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi Facebook memaklumkan ujian berkenaan berlangsung serentak dari 10.10 hingga 10.30 pagi bagi memastikan sistem penyampaian amaran awal berfungsi dengan baik ketika kecemasan atau bencana.
Menurut NADMA, pengguna telefon bimbit mungkin menerima bunyi amaran khas berserta getaran serta mesej pop-up bertulis "Ujian Amaran" pada skrin peranti.
Amaran itu disampaikan menerusi rangkaian 4G dan 5G tanpa memerlukan sambungan internet atau penggunaan data.
"Jangan panik! Ini hanyalah ujian sistem MySiren dan bukannya amaran bencana sebenar," menurut kenyataan itu.
NADMA turut memaklumkan tiada sebarang tindakan diperlukan daripada pengguna selain membaca mesej yang diterima sebelum menutup paparan berkenaan.







