KUALA LUMPUR, 23 NOV: Orang ramai boleh menerima amaran kecemasan secara terus melalui telefon bimbit tanpa perlu memuat turun aplikasi atau melanggan perkhidmatan tertentu apabila Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) mula beroperasi sepenuhnya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi jawapan bagi soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan hari ini memaklumkan MySiren dibangunkan untuk memberi amaran kecemasan dengan pantas bagi membolehkan orang ramai bertindak melindungi nyawa serta harta benda.
Sistem itu, yang menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS), menyalurkan amaran secara serentak kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas melalui rangkaian 4G dan 5G tanpa menggunakan trafik data.
Menurut FAQ itu, kaedah berkenaan membolehkan amaran diterima walaupun rangkaian mengalami kesesakan atau kuota data pengguna telah habis, berbeza dengan sistem pesanan ringkas (SMS) yang menghantar mesej kepada nombor telefon tertentu secara bergilir-gilir.
MCMC memaklumkan amaran boleh dikeluarkan bagi ancaman serius terhadap nyawa, kesihatan, keselamatan atau harta benda termasuk kejadian cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar, insiden bahan berbahaya dan ancaman keselamatan awam.
Agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh mengeluarkan enam kategori amaran mengikut tahap kecemasan, iaitu Amaran Kebangsaan, Amaran Ekstrem, Amaran Teruk, Amaran Orang Hilang, Amaran Ujian dan Amaran Latihan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap mesej penipuan yang menyamar sebagai notifikasi MySiren kerana pemberitahuan rasmi sistem itu akan dipapar melalui fungsi amaran kecemasan terbina dalam telefon bimbit, bukannya menerusi SMS biasa atau aplikasi pihak ketiga.
“Amaran MySiren tidak akan meminta anda memberikan kata laluan, butiran perbankan, kata laluan sekali guna (OTP) atau membuat sebarang pembayaran.
“Jika anda menerima SMS mencurigakan yang mendakwa sebagai amaran MySiren, jangan klik sebarang pautan atau berkongsi maklumat peribadi. Laporkan SMS yang disyaki palsu kepada pengendali rangkaian mudah alih dan sahkan maklumat melalui saluran rasmi kerajaan atau agensi pengurusan bencana” menurut FAQ itu.
MCMC memaklumkan hanya agensi yang diberi kuasa boleh mengeluarkan amaran MySiren melalui sistem CBS rasmi dan ia dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini, tertakluk pada penyempurnaan ujian serta penilaian kesiapsiagaan.
Menurut FAQ itu, ujian amaran awam di seluruh negara dijadualkan Ahad ini bagi menilai prestasi sistem dan mengenal pasti sebarang isu teknikal termasuk cara amaran disiarkan serta diterima.
“Ujian berkenaan tidak bermaksud MySiren telah beroperasi sepenuhnya dan ia boleh dilaksanakan secara berkala bagi memastikan keberkesanannya,” menurut MCMC.
Mengenai tetapan peranti, FAQ itu memaklumkan Amaran Kebangsaan dan Amaran Ekstrem tidak boleh dinyah aktif namun kategori lain boleh dimatikan bergantung pada model telefon serta sistem pengendalian.
“Memandangkan amaran MySiren memberikan maklumat penting untuk membantu melindungi nyawa semasa kecemasan, anda amat digalakkan untuk memastikan semua tetapan amaran kecemasan diaktifkan (kecuali Amaran Ujian) demi keselamatan anda,” katanya.
Untuk maklumat rasmi dan perkembangan terkini mengenai MySiren, layari www.mcmc.gov.my/mysiren dan rujuk saluran komunikasi rasmi MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta pihak berkuasa lain berkaitan.
-- BERNAMA







