SHAH ALAM, 29 NOV: Keselesaan membaca tanpa kebergantungan kepada peranti digital dan Internet menjadi antara faktor buku fizikal kekal sebagai pilihan sebahagian pembaca muda.
Pelajar Politeknik Shah Alam Nur Syaurah Qistina Zunihan, 18, berkata, beliau lebih gemar membaca buku bercetak kerana dapat menikmati pengalaman memegang buku dan menyelak halaman, selain mengurangkan keletihan mata.
“Buku fizikal lebih seronok untuk dipegang dan dibaca, malah saya lebih selesa kerana mata tidak mudah letih.

“Buku fizikal juga memudahkan pembaca mendapatkan maklumat melalui perpustakaan atau kedai buku tanpa perlu menunggu sambungan Internet,” katanya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026 di sini, kelmarin.
Sementara itu, pengunjung Saiful Amir Bahuriddin berkata minat anak-anak terhadap bahan bacaan, khususnya komik, mendorong keluarganya mengunjungi pesta buku berkenaan.
“Tahun lepas anak-anak memang nak pergi, tetapi tidak berkesempatan, jadi tahun ini apabila ada peluang, kami datang,” katanya.
Saiful yang hadir bersama keluarga dari Johor turut mengambil peluang memperkenalkan anak-anak kepada pelbagai jenis bahan bacaan.

“Kita mahu dedahkan anak-anak bukan hanya kepada buku komik, tetapi juga banyak lagi buku menarik yang boleh menambah ilmu mereka,” katanya.
Menurutnya, penyertaan pelbagai pempamer dengan pilihan buku berbeza turut memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali bahan bacaan berkualiti sejak usia muda.









