SHAH ALAM, 27 NOV: Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine menggunakan aset TUDM.
Tertuduh ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33, Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27, Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34, Tan Sui Seng, 48, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28, dan Afifah Amdas, 34, lapor Harian Metro.
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar 96.2kg methamphetamine di Pangkalan TUDM Subang pada 17 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes itu susulan penahanan 11 individu, terdiri daripada lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam, dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.
Dalam operasi berkenaan, polis merampas 96.64kg dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg bahan kimia.







