Kes seludup dadah guna pesawat tentera, lebih ramai akan ditahan – KPN

26 Nov 2026, 6:09 AM
Kes seludup dadah guna pesawat tentera, lebih ramai akan ditahan – KPN

SHAH ALAM, 26 NOV: Polis bekerjasama rapat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengesan lebih ramai individu yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata seramai 13 individu ditahan setakat ini, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam, lapor Berita Harian.

Beliau berkata lebih banyak tangkapan akan dilakukan berdasarkan perkembangan siasatan, khususnya membabitkan individu yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan sindiket itu.

"Saya percaya lebih banyak tangkapan akan dilakukan selaras dengan perkembangan siasatan, khususnya membabitkan individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini.

"Kerjasama antara polis dan pihak tentera, terutama TUDM, amat baik. Kolaborasi erat ini sudah membuahkan hasil menerusi operasi bersepadu yang dijalankan.

"Tangkapan ini amat penting bagi memastikan kegiatan berkaitan dadah dapat dibendung dan tidak terus menular," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khalid menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Pahang antara penyandang baharu, Datuk Mohammad Shaharul Md Osman dengan pemangku jawatan itu, Datuk Azry Akmar Ayob, yang juga Timbalan Ketua Polis Pahang.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan siasatan terhadap individu lain yang berpotensi terbabit dalam kegiatan itu masih giat dijalankan.

Katanya, perintah reman terhadap kesemua 13 suspek dilanjutkan, manakala mereka yang terbabit akan didakwa sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan.

Kes itu menyusul selepas polis merampas 96.6 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang, minggu lalu, menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.

Antara individu yang ditahan ialah seorang juruterbang TUDM dan dua koordinator sindiket. Juruterbang berkenaan dipercayai berperanan sebagai penyelaras serta penghantar dadah bagi pihak sindiket.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menggunakan laluan dari Subang ke Labuan dan Tawau, Sabah untuk menyeludup dadah.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.