Seludup dadah guna aset penerbangan tentera, lima pegawai TUDM antara 11 ditahan

19 Nov 2026, 2:38 PM
Seludup dadah guna aset penerbangan tentera, lima pegawai TUDM antara 11 ditahan
Seludup dadah guna aset penerbangan tentera, lima pegawai TUDM antara 11 ditahan

SHAH ALAM, 19 NOV: Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah menggunakan aset penerbangan tentera, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata enam lagi individu yang ditahan terdiri daripada orang awam susulan penemuan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

Jelas beliau, kejayaan itu hasil kerjasama risikan strategik antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN) Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.

"Hasil kerjasama risikan strategik, satu sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan berjaya dibongkar.

"Pada 17 November lalu, JSJN Bukit Aman melaksanakan beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan yang membawa kepada penahanan 11 individu terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata sindiket itu dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Filipina dan Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur serta menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.

“JSJN kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi serta mengenal pasti pihak lain yang terbabit,” katanya.

Menurut beliau, risikan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM sebagai laluan penyeludupan dadah.

Katanya, modus operandi itu menunjukkan sindiket terbabit sanggup mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara demi kepentingan jenayah.

“JSJN amat menghargai kerjasama TUDM, khususnya Cawangan Provos Marsyal, atas tindakan profesional dan komitmen tinggi diberikan sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan,” katanya.

Hussein berkata lima pegawai TUDM itu direman tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini manakala enam individu awam direman antara dua hingga lima hari.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada individu awam terbabit positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Rampasan dadah itu dianggarkan berpotensi menjejaskan sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran,” jelasnya.

Tambah beliau, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kenderaan, masing-masing jenis Honda CR-V dan Toyota Vios, yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM126,062.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya disabitkan kesalahan,” ujarnya

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.