Isu kelewatan bekalan baja: SPRM rakam keterangan Mohamad Sabu, KSU

19 Sep 2026, 4:01 AM
Isu kelewatan bekalan baja: SPRM rakam keterangan Mohamad Sabu, KSU

KAJANG, 19 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu berhubung siasatan membabitkan isu kelewatan bekalan baja di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata keterangan Mohamad dirakam pada 16 Sept manakala KSU dirakam sehari sebelum itu.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 37 saksi telah dipanggil dan keterangan mereka dirakam bagi membantu siasatan yang dimulakan pada 26 Ogos berhubung pelantikan sebuah syarikat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Siasatan masih lagi berlangsung, namun sudah sampai ke penghujung dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abd Halim berkata SPRM juga akan mengambil keterangan beberapa orang saksi lagi bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menggunakan dokumen yang diketahui atau dipercayai palsu.

Beliau berkata SPRM setakat ini percaya terdapat unsur jenayah dan isu berkaitan tadbir urus dalam kes berkenaan, namun lebih menumpukan kepada aspek kriminaliti.

“Kita ketepikan dahulu isu tadbir urus kerana kita fokus kepada aspek kriminaliti. Bagaimanapun, saya tidak boleh komen lebih daripada itu kerana penyiasatan masih lagi berlangsung,” katanya.

Sebelum ini, siasatan awal SPRM mendapati sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September hanya 333,655 beg baja dibekalkan, iaitu kekurangan 282,360 beg.

Kertas siasatan dibuka susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja yang dilantik KPKM untuk membekal baja menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.