JPS tempatkan 157 pam kecemasan di Selangor, operasi digerakkan di lokasi berisiko

25 Nov 2026, 8:03 AM
JPS tempatkan 157 pam kecemasan di Selangor, operasi digerakkan di lokasi berisiko
JPS tempatkan 157 pam kecemasan di Selangor, operasi digerakkan di lokasi berisiko
JPS tempatkan 157 pam kecemasan di Selangor, operasi digerakkan di lokasi berisiko

SHAH ALAM, 25 NOV: Sebanyak 157 unit pam kecemasan mudah alih ditempatkan di Selangor bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), dengan dua unit sedang beroperasi setakat 6 pagi ini.

Berdasarkan infografik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, daripada jumlah itu, 144 unit berada dalam keadaan sedia untuk diaktifkan, manakala 11 unit lagi dalam status siap siaga.

Selangor merekodkan jumlah penempatan pam kecemasan tertinggi berbanding negeri lain, diikuti Perak dengan 105 unit dan Johor (73 unit). Secara keseluruhan, sebanyak 580 unit pam kecemasan mudah alih disediakan di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, JPS Daerah Petaling mengaktifkan operasi pam di dua lokasi di daerah itu hari ini bagi membantu mengawal paras air dan mengurangkan risiko banjir.

Dua unit pam kekal mula beroperasi di Pintu Air Kampung Bukit Lanchong pada jam 3 pagi, manakala sebuah pam mudah alih di Seksyen 23, Sungai Klang diaktifkan pada jam 9.40 pagi.

Setakat semalam, JPS Daerah Petaling turut mengaktifkan sebuah pam mudah alih di Pintu Air Kampung Baru Hicom, Sungai Klang, pada jam 2.30 petang bagi membantu mengawal paras air di kawasan berkenaan.

Sementara itu, JPS Daerah Kuala Selangor pula menambah sebuah pam bergerak berkapasiti lima cusec di Kampung Asahan, menjadikan jumlah kapasiti pam yang ditempatkan di kawasan itu sebanyak 15 cusec.

Penambahan berkenaan bertujuan mempercepatkan proses menyurutkan air banjir genang di kawasan berkenaan susulan persediaan menghadapi MTL.

Dalam usaha memastikan kelancaran operasi, JPS Daerah Kuala Selangor telah selesai menyelenggara pam bergerak di Jalan Parit Mahang bagi memastikan peralatan berkenaan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami gangguan ketika digunakan.

Selain itu, JPS Negeri Selangor menyelesaikan pemasangan sebuah pam bergerak jenis submersible hydraulic pump berkapasiti lima cusec di Pintu Air Ladang Thangamalay, Klang. 

Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha JPS memastikan kemudahan mekanikal dan elektrikal berfungsi dengan baik bagi menghadapi situasi banjir sepanjang musim MTL yang dijangka berlaku sehingga Mac 2027. 

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.