AI dalam pendidikan perlu berpaksikan akhlak, nilai kemanusiaan - PM

25 Nov 2026, 6:52 AM
AI dalam pendidikan perlu berpaksikan akhlak, nilai kemanusiaan - PM

PUTRAJAYA, 25 NOV: Penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara mestilah berpaksikan kepada pembinaan akhlak, adab dan nilai kemanusiaan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja pintar malah mulia peribadinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguasaan AI perlu disertakan dengan aspek kawalan berteraskan nilai agama, akhlak dan kemanusiaan bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan untuk kebaikan.

Beliau berkata sebagai sebuah negara, Malaysia tidak boleh menolak perkembangan teknologi baharu kerana kegagalan menguasainya akan menyebabkan negara ketinggalan dalam kepantasan penguasaan ilmu serta pembangunan ekonomi.

“Kita memperkenalkan AI bukan sekadar teknologi baharu tetapi membina generasi baharu yang pintar dan lebih mulia peribadi serta akhlaknya.

"Teknologi AI ini amat canggih untuk kita ‘menggapai di langit’, namun pada masa sama kita mesti tetap ‘mengakar di bumi’ dengan mempertahankan akidah, akhlak, keperibadian dan budaya kita,” katanya ketika berucap melancarkan Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI”, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Anwar berkata pendedahan awal AI di peringkat sekolah rendah tidak sesekali menggantikan pendidikan konvensional seperti membaca dan mengira, sebaliknya untuk membiasakan murid agar tidak berasa canggung terhadap instrumen teknologi masa hadapan.

“Namun kementerian (KPM) dan para guru harus sentiasa diperingatkan supaya kita menggunakan teknologi canggih AI ini untuk mendidik manusia yang berakhlak, beragama dan berbudaya, bukan mendidik mesin.

“AI tidak akan berhasil kalau tidak disertai dan didukung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai dan utamanya ialah guru-guru yang menggalas tugas baharu ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik yang kini perlu melaksanakan tanggungjawab termasuk dalam pengajaran dan penguasaan teknologi AI.

“Jadi anak-anak, jangan lupa tunjuk hormat kepada guru-guru kerana mereka melakukan sesuatu yang lebih daripada tanggungjawab biasa.

“… bila ke sekolah, hormat guru-guru kerana mereka bertindak memberi pendidikan, pendedahan dalam satu bidang yang sebenarnya baharu juga bagi mereka,” katanya.

Menerusi Prakarsa AI Pendidikan Negara, Anwar berkata inisiatif itu adalah sesuatu yang membanggakan dan memberi pendedahan kepada warga pendidik serta pelajar untuk meneroka AI dengan lebih baik.

“Apa pun rencana yang kita lakarkan untuk negara, mulanya masih di bangku sekolah. Yang menentukan sama ada dasar baharu berhasil atau tidak, itu dari bangku sekolah,” kata Anwar.

Prakarsa AI Pendidikan Negara mengetengahkan tiga ikhtiar utama, iaitu Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) 3.0 dan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) Kementerian Pendidikan (KPM) serta Cikgu İLMU, platform yang dibangunkan oleh YTL Al Labs dan dikuasakan oleh ILMU, Al Malaysıa.

Ketiga-tiga prakarsa tersebut saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital negara, memodenkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta membudayakan penggunaan Al secara beretika, selamat dan bertanggungjawab.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.