SHAH ALAM, 25 NOV: Selangor akan menggunakan sembilan jadual waktu solat mengikut daerah berbanding tiga zon ketika ini, berkuat kuasa 1 Januari 2027.
Mufti Selangor, Dato' Seri Utama Dato' Setia Dr Anhar Haji Opir berkata penyelarasan itu bagi memastikan waktu solat lebih tepat berdasarkan kedudukan geografi setiap daerah.
Menurutnya, penggunaan tiga zon sebelum ini meliputi kawasan yang luas sehingga menyebabkan perbezaan waktu solat antara lokasi.
Penyelarasan ini bagi memastikan masyarakat tidak perlu menunggu terlalu lama atau menunaikan solat terlalu awal.
"Zon yang digunakan sebelum ini agak besar, tetapi sekarang kita kecilkan kawasan berkenaan supaya setiap daerah mempunyai jadual waktu solat sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Irsyad Falak: Perubahan Zon Waktu Solat Negeri Selangor Berdasarkan Daerah di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.
Anhar berkata penerangan awal kepada pengurusan masjid penting bagi memastikan perubahan itu difahami dan disampaikan dengan jelas kepada ahli kariah sebelum pelaksanaannya.
Beliau menjelaskan orang ramai tidak perlu bimbang kerana penyelarasan itu hanya membabitkan pembahagian zon, bukannya perubahan terhadap kaedah penetapan waktu solat.
Katanya, jadual waktu solat bagi sembilan daerah untuk 2027 sudah disediakan dan boleh dirujuk menerusi laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor.
"Kita ada laman web eFALAK, yang bakal ditukar kepada satu aplikasi pada tahun hadapan. Orang ramai juga boleh menyemak info di laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor," jelasnya.







